Friday, May 3, 2019

Tiada Kebiadapan Pada Kebenaran


"Jangan jadi lemboo demo"

"Pertama kali pelajar UIA biadab dengan pensyarah secara bersemuka"

Panas hati aku membaca cemuhan pensyarah-pensyarah Taman Ilmu dan Budi kepada pelajar-pelajar yang melakukan aksi 'duduk bantah' di depan bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia yang tersergam di Parcel E, Putrajaya itu. Aksi duduk dan bantah itu adalah untuk menuntut Menteri Pendidikan melepaskan jawatan Presiden UIA. Itu belum lagi sindiran-sindiran mereka tentang laungan autonomi oleh pelajar-pelajar.

Apakah mereka tidak faham tentang prinsip autonomi? Apakah mereka tidak faham perjuangan Maszlee sebelum ini memperjuangkan autonomi? Apakah mereka tidak faham, lantikan politik adalah tradisi yang amat ditentang oleh pejuang kebebasan akademik? Apakah mereka tidak faham, aksi duduk bantah itu bukanlah tindakan tidak bertamadun sebaliknya meneruskan bobrok tradisi UMNO BN membuat lantikan politik di universiti-universiti itulah yang tidak bertamadun? Nah, sekarang ia berterusan, di UUM, UniSZA, UKM dan universiti-universiti lain.

Sebal jiwa aku bila Taman Ilmu dan Budi ini punya pensyarah-pensyarah berwajah agama seperti ini. Bila kebebasan dikekang dan tiada proksi kuasa, kebebasan akademik dan autonomilah laungan hariannya. Bila proksinya sudah punya kuasa, nah terlondeh perangai sebenar mereka. Maszlee itu disamakan dengan autonomi dan kebebasan akademik. Autonomi dan kebebasan akademik itu adalah dengan sistem, bukan sosok keberadaan menteri menjadi Presiden universiti. Zhan  aku adalah mereka ini mahukan 'privilege' dengan duduknya bekas rakan sekerja mereka yang berjawatan menteri itu di pejabat Presiden. Ini apa? Tidak ada agamakah mereka ini? Mereka mengajar nilai-nilai akhlaq seperti amanah, siddiq, ikhlas dan bermacam-macam lagi terma-terma Islami, tetapi masih memenangkan bias sendiri dan menghalalkan 'conflict of interest' kerana Maszlee itu beragama. Agama menentang ini semua.

Aku menulis bukan untuk memfokuskan kepada kebobrokan kaum pensyarah-pensyarah di universiti. Kalau mahu disenaraikan, nescaya kau akan mendapat lampiran senarai yang amat panjang. Aku menulis untuk kau, kau dan kau wahai anak-anak didik di universiti. Aku menuntut kau untuk menuntut pensyarah-pensyarahmu berprinsip, memenangkan kebenaran dan tidak berpihak dengan kesalahan dan kebatilan. Mereka ini mengajar kamu perkara yang benar, tetapi mereka cuba menutup mulutmu daripada menyebelahi kebenaran dan melawan munkar kebatilan dan kesalahan apabila kebenaran tidak memihak kepada mereka dengan cemuhan biadap, kurang ajar dan tiada adab.

Aku katakan kepadamu, melawan bobrok pentadbiran universiti itu lebih mudah daripada melawan pensyarah-pensyarahmu yang membuat salah. Ya, aku tahu kau sukar melawan kerana hubungan guru dan murid itu membuat kau tunduk hormat tidak berani mengangkat kepala di hadapan mereka. Aku khabarkan kepadamu bahawa 'tunduk hormat' inilah yang menyebabkan bobrok mereka berleluasa tidak tercegah dan terhalang. Mereka boleh berbuat apa sahaja kerana kau senyap. Maka hari ini, aku katakan padamu, darjat tanggungjawabmu terhadap kebenaran melampaui 'adab'mu dengan gurumu. Gurumu itu juga punya hak diperbetulkan jika mereka salah. Kerana mereka bukan Nabi. Mereka penyampai amanah ilmu. Jika mereka mengkhianatinya, tugas kaulah untuk membetulkannya.

Ketahuilah adab dengan kebenaran itu lebih aula. Semak dan imbang pensyarah dan gurumu itu satu kewajiban. Aku tidak menyuruh kau memaki pensyarah-pensyarahmu. Aku cuma meminta kau memperbetulkan gurumu jika mereka membuat kesalahan ilmiah. Dan ia menuntut keberanian dan kecerdasanmu wahai para pelajar universiti. Jangan takut hilang berkat ilmu, kerana berkat ilmu bukan ada mereka, tetapi pada beramalnya kau dengan ilmu yang disampaikan dan itu tuntutan Tuhan. Kerana Tuhan menyuruhmu berkata dan berbuat benar, bukan mengampu guru dan pensyarahmu. Universiti hanya mampu menjadi bagus jika pelajar dan pensyarah sama-sama bagus dalam memegang etika ilmu. Tidak ada cara lain untuk mendapatkan keadaan itu melainkan kau sendiri yang harus melaksanakan tugasmu yang dibiarkan sepi ini.




* Post ini ditulis November 2018. Dr Maszlee akhirnya melepaskan jawatan beliau sebagai Presiden UIAM. Namun begitu sehingga kini, tiada lagi yang mengisi kekosongan jawatan itu. 

Sunday, April 7, 2019

Diam

Aku tidak tahu apa yang kau fikirkan selama dua hari kita tidak berkomunikasi. Mungkin ia pendek, tapi untuk kita ia sebenarnya waktu yang panjang. Kerana kita tidak pernah putus komunikasi peribadi lebih daripada 24 jam. Aku menulis di sini kerana aku mahu bercakap denganmu tetapi aku tidak mampu mengungkapkannya secara berhadapan. Biarlah tulisan ini menjadi jurubicara aku kepadamu.

Perjalanan kita ini aku fikir patut kita tamatkan sahaja kerana aku sudah tidak mampu meneruskannya. Berjalan dan adakala berlari dan menari-nari di atas laluan paradoks ilusi dan realiti bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Selama berhubungan denganmu aku tidak pernah memikirkan yang buruk-buruk tentang dirimu. Tetapi apabila realiti mengetuk pintu emosi dan akal ku berulang kali sehingga aku disfungsi, biar sahajalah aku menyepi meskipun rasional sentiasa memujuk diri untuk memulakan argumentasi.

Mahu sahaja aku katakan padamu tidak mahukah kau pertahankan apa yang kita ada. Tetapi, apabila aku terfikirkan ayat itu, terus sahaja imaginasiku menjadi liar. Lantas aku diamkan sahaja, kerana aku tidak mahu memburukkanmu dalam fikiranku dan aku terburukkan diriku sendiri. Sekarang ini aku sudah menjadi 'numb'. Aku mahu marah, tetapi aku tidak mampu. Aku mahu sedih, tetapi aku tidak mampu. Aku mahu lega kerana berjaya membuat keputusan untuk putus daripadamu, tetapi aku tidak mampu. Apatah lagi gembira dan suka. Semuanya aku tidak mampu.

Yang aku mampu hanyalah diam.