Sunday, April 7, 2019

Diam

Aku tidak tahu apa yang kau fikirkan selama dua hari kita tidak berkomunikasi. Mungkin ia pendek, tapi untuk kita ia sebenarnya waktu yang panjang. Kerana kita tidak pernah putus komunikasi peribadi lebih daripada 24 jam. Aku menulis di sini kerana aku mahu bercakap denganmu tetapi aku tidak mampu mengungkapkannya secara berhadapan. Biarlah tulisan ini menjadi jurubicara aku kepadamu.

Perjalanan kita ini aku fikir patut kita tamatkan sahaja kerana aku sudah tidak mampu meneruskannya. Berjalan dan adakala berlari dan menari-nari di atas laluan paradoks ilusi dan realiti bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Selama berhubungan denganmu aku tidak pernah memikirkan yang buruk-buruk tentang dirimu. Tetapi apabila realiti mengetuk pintu emosi dan akal ku berulang kali sehingga aku disfungsi, biar sahajalah aku menyepi meskipun rasional sentiasa memujuk diri untuk memulakan argumentasi.

Mahu sahaja aku katakan padamu tidak mahukah kau pertahankan apa yang kita ada. Tetapi, apabila aku terfikirkan ayat itu, terus sahaja imaginasiku menjadi liar. Lantas aku diamkan sahaja, kerana aku tidak mahu memburukkanmu dalam fikiranku dan aku terburukkan diriku sendiri. Sekarang ini aku sudah menjadi 'numb'. Aku mahu marah, tetapi aku tidak mampu. Aku mahu sedih, tetapi aku tidak mampu. Aku mahu lega kerana berjaya membuat keputusan untuk putus daripadamu, tetapi aku tidak mampu. Apatah lagi gembira dan suka. Semuanya aku tidak mampu.

Yang aku mampu hanyalah diam.