"Jangan jadi lemboo demo"
"Pertama kali pelajar UIA biadab dengan
pensyarah secara bersemuka"
Panas hati aku membaca cemuhan
pensyarah-pensyarah Taman Ilmu dan Budi kepada pelajar-pelajar yang melakukan
aksi 'duduk bantah' di depan bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia yang
tersergam di Parcel E, Putrajaya itu. Aksi duduk dan bantah itu adalah untuk
menuntut Menteri Pendidikan melepaskan jawatan Presiden UIA. Itu belum lagi
sindiran-sindiran mereka tentang laungan autonomi oleh pelajar-pelajar.
Apakah mereka tidak faham tentang prinsip
autonomi? Apakah mereka tidak faham perjuangan Maszlee sebelum ini
memperjuangkan autonomi? Apakah mereka tidak faham, lantikan politik adalah
tradisi yang amat ditentang oleh pejuang kebebasan akademik? Apakah mereka
tidak faham, aksi duduk bantah itu bukanlah tindakan tidak bertamadun
sebaliknya meneruskan bobrok tradisi UMNO BN membuat lantikan politik di
universiti-universiti itulah yang tidak bertamadun? Nah, sekarang ia
berterusan, di UUM, UniSZA, UKM dan universiti-universiti lain.
Sebal jiwa aku bila Taman Ilmu dan Budi ini
punya pensyarah-pensyarah
berwajah agama seperti ini. Bila kebebasan dikekang dan tiada proksi kuasa,
kebebasan akademik dan autonomilah laungan hariannya. Bila proksinya sudah
punya kuasa, nah terlondeh perangai sebenar mereka. Maszlee itu disamakan
dengan autonomi dan kebebasan akademik. Autonomi dan kebebasan akademik itu
adalah dengan sistem, bukan sosok keberadaan menteri menjadi Presiden
universiti. Zhan aku adalah mereka ini mahukan 'privilege' dengan duduknya bekas
rakan sekerja mereka yang berjawatan menteri itu di pejabat Presiden. Ini apa?
Tidak ada agamakah mereka ini? Mereka mengajar nilai-nilai akhlaq seperti
amanah, siddiq, ikhlas dan bermacam-macam lagi terma-terma Islami, tetapi masih
memenangkan bias sendiri dan menghalalkan 'conflict of interest' kerana Maszlee
itu beragama. Agama menentang ini semua.
Aku menulis bukan untuk memfokuskan kepada
kebobrokan kaum pensyarah-pensyarah di universiti. Kalau mahu disenaraikan,
nescaya kau akan mendapat lampiran senarai yang amat panjang. Aku menulis untuk
kau, kau dan kau wahai anak-anak didik di universiti. Aku menuntut kau untuk
menuntut pensyarah-pensyarahmu berprinsip, memenangkan kebenaran dan tidak
berpihak dengan kesalahan dan kebatilan. Mereka ini mengajar kamu perkara yang
benar, tetapi mereka cuba menutup mulutmu daripada menyebelahi kebenaran dan
melawan munkar kebatilan dan kesalahan apabila kebenaran tidak memihak kepada
mereka dengan cemuhan biadap, kurang ajar dan tiada adab.
Aku katakan kepadamu, melawan bobrok
pentadbiran universiti itu lebih mudah daripada melawan pensyarah-pensyarahmu
yang membuat salah. Ya, aku tahu kau sukar melawan kerana hubungan guru dan
murid itu membuat kau tunduk hormat tidak berani mengangkat kepala di hadapan
mereka. Aku khabarkan kepadamu bahawa 'tunduk hormat' inilah yang menyebabkan
bobrok mereka berleluasa tidak tercegah dan terhalang. Mereka boleh berbuat apa
sahaja kerana kau senyap. Maka hari ini, aku katakan padamu, darjat
tanggungjawabmu terhadap kebenaran melampaui 'adab'mu dengan gurumu. Gurumu itu
juga punya hak diperbetulkan jika mereka salah. Kerana mereka bukan Nabi.
Mereka penyampai amanah ilmu. Jika mereka mengkhianatinya, tugas kaulah untuk
membetulkannya.
Ketahuilah adab dengan kebenaran itu lebih
aula. Semak dan imbang pensyarah dan gurumu itu satu kewajiban. Aku tidak menyuruh kau memaki pensyarah-pensyarahmu. Aku cuma
meminta kau memperbetulkan gurumu jika mereka membuat kesalahan ilmiah. Dan ia
menuntut keberanian dan kecerdasanmu wahai para pelajar universiti. Jangan
takut hilang berkat ilmu, kerana berkat ilmu bukan ada mereka, tetapi pada
beramalnya kau dengan ilmu yang disampaikan dan itu tuntutan Tuhan. Kerana
Tuhan menyuruhmu berkata dan berbuat benar, bukan mengampu guru dan
pensyarahmu. Universiti hanya mampu menjadi bagus jika pelajar dan pensyarah
sama-sama bagus dalam memegang etika ilmu. Tidak ada cara lain untuk
mendapatkan keadaan itu melainkan kau sendiri yang harus melaksanakan tugasmu
yang dibiarkan sepi ini.