Monday, January 16, 2023

The Elephant in the Room: Islamisme, Islamisasi dan Impak Sosial di Malaysia


Keputusan pilihanraya umum Malaysia ke-15 menunjukkan keputusan yang agak mengejutkan bagi ramai orang apabila umumnya parti Islam mendapat bilangan undi yang sangat banyak berbanding dengan PRU-PRU yang lalu sehingga Perikatan Nasional yang terdiri daripada parti PAS menyapu bersih negeri Kelantan dan Terengganu, serta mendapat undi yang tinggi di banyak negeri termasuk negeri-negeri lain. Ramai yang kaget melihat keputusan ini. Dan UMNO sudah dilihat tidak relevan untuk memimpin orang Melayu, jelasnya undi mereka telah beralih arah kepada PAS dan BERSATU. Kekagetan itu tidak berhenti di situ.

Apa yang terjadi di sepanjang kempen pilihanraya yang lalu ialah jelasnya polarisasi masyarakat dek permainan naratif kaum dan agama yang bergentayangan dilaungkan oleh parti-parti politik untuk meraih undi. Kempen-kempen politik di media sosial seperti TikTok contohnya juga menunjukkan trend ini dengan jelas dan pengkempen-pengkempennya adalah anak-anak muda. Naratif kebencian atas dasar kaum dan agama banyak berlegar dalam kempen-kempen PRU yang lalu. Pasca PRU 15 tidak menunjukkan trend ini semakin menurun bahkan semakin melampau dengan kekalahan PN meraih kekuasaan untuk memerintah Malaysia. Ada video-video yang dimuat naik oleh anak-anak muda mempersoalkan keIslaman mereka yang mengundi selain daripada Perikatan Nasional, dan ada juga yang berani-berani mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan untuk melakukan aksi keganasan meniru peristiwa 13 Mei kepada bukan Islam.

Yang jelasnya, naratif kebencian antara kaum dan agama yang sering berlaku di Malaysia ini sudah naik ke satu peringkat yang baru yang tidak pernah timbul sebelum ini iaitu ia berubah ke peringkat lebih ganas dan ekstrem dan dipaparkan secara terbuka dengan banyaknya. Aktiviti-aktiviti politik seperti pilihanraya menjadikan keadaan ini semakin parah kerana ia adalah ruang perebutan kuasa oleh parti-parti politik, dan ruang ini menjadikan persaingan meraih sokongan dan undi dilakukan dengan apa saja cara termasuklah cara-cara yang keji seperti memainkan naratif etno-agama atau perkauman agama. Mana silapnya negara ini dalam mengurus masyarakatnya sehingga fenomena kebencian atas asas kaum dan agama menjadi meningkat hari demi hari tanpa ada surutnya

Fenomena yang berlaku di Malaysia ini bukanlah sesuatu yang unik dan berlainan daripada apa yang terjadi di peringkat global. Fenomena kebangkitan konservatisme dan fahaman kanan yang ekstrem ialah fenomena yang sedang melanda banyak negara baik di Timur dan Barat. Di India ada kebangkitan ekstremisme Hindu, di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat kebangkitan ekstremisme konservatif dan di kawasan Asia Tenggara, kebangkitan konservatisme Islam sedang berlaku dengan begitu pesatnya. Kebangkitan golongan berfahaman kanan mengancam demokrasi di negara masing-masing dan mengancam hak-hak kemanusiaan warga marginal seperti minoriti agama, etnik dan gender, pelarian dan migran serta perempuan dan kanak-kanak.

Globalisasi menjadikan fenomena kebangkitan konservatisme di Malaysia ini bukanlah sesuatu yang eksklusif. Di Malaysia, impak perhubungan dan mobiliti secara global telah membawa masuk gerakan Islam politik atau Islamisme. Kita jarang mahu membicarakan permasalahan Islam politik secara sosial dan politik dengan jujur kerana nilai-nilai yang diajar oleh gerakan-gerakan Islamis sudah meresap masuk menjadi sebahagian daripada kefahaman masyarakat kita tentang agama dan cara kita bernegara. Keputusan PRU 15 seharusnya menjadi wake-up call kepada kita untuk mula mempersoalkan impak-impak Islamisme dan projek Islamisasi yang dilakukan oleh negara dan gerakan-gerakan Islam kepada pemikiran masyarakat. Impak ini tidak boleh dilihat kecil kerana satu survei yang dijalankan oleh Merdeka Center (2022) menunjukkan bahawa anak-anak muda Muslim bawah 25 tahun lebih konservatif berbanding generasi muda pada 10 tahun yang lalu dan mempunyai kesedaran politik yang lebih tinggi.

Islamisme sebagai sebuah gerakan dan ideologi yang mendogmakan kepada masyarakat bahawa Islam dan Muslim mesti menjadi superior secara sosial dan politik. Dahulu ia dikenali sebagai gerakan revivalis Islam, dan sering diperlihatkan sebagai satu gerakan yang hanya melaungkan slogan politik Islam yang mahu memperjuangkan negara Islam. Fenomena Islam politik tidak hanya terhad dalam negara-negara di persada antarabangsa, tetapi ia juga melimpah ke negara kita dengan kewujudan gerakan-gerakan dakwah Islam yang berkembang dengan pesatnya sejak lima dekad lalu. Gerakan ini mendakwahkan Islam dengan perspektif kekuasaan yang mentafsirkan kesyumulan Islam hanya dapat dicapai dengan menundukkan manusia dan sistem kehidupan secara sosial dan politik kepada Islam.

Islam difahami sebagai satu cara hidup yang lengkap dan setiap Muslim wajib mengikut cara hidup Islam, pada tahap individu, keluarga, masyarakat dan negara. Slogan ‘Islam sebagai solusi’ bergendang dengan kuat oleh para Islamis yang memandang bahawa masyarakat Muslim telah dipengaruhi dengan cara hidup Barat yang menolak agama dan kembali kepada zaman jahiliyyah. Gerakan Islamisme yang bermula dengan Ikhwan Muslimin di Mesir dan Jamaat e Islami di Pakistan telah meluaskan pengaruhnya dengan pesat ketika negara-negara Muslim masih berhadapan dengan penjajahan Barat.

Tidak dinafikan gerakan ini adalah sebuah gerakan reaksioner terhadap penjajahan dan penguasaan Barat, tetapi dalam masa yang sama bersifat reduktif dan mengecilkan Islam sebatas apa yang mereka lihat Islami lalu menjadikan pemahaman keIslaman mereka terputus daripada tradisi keilmuan Islam yang rencam dan binari. Revolusi Iran menguatkan imaginasi kepada gerakan Islamis untuk terus memperjuangkan dan cita-cita negara Islam.

Negara Islam yang difahami ramai pada hari ini adalah negara yang mengamalkan khilafah dan menjalankan undang-undang jenayah Islam yang formal iaitu hudud. Tetapi hakikatnya ramai yang kabur hakikat sebenar perjuangan Islamis bukanlah untuk mewujudkan khilafah seperti yang difikirkan ramai orang itu. Bassam Tibi (2012) menerangkan apa yang diusahakan oleh gerakan Islamis itu ialah sebuah kekuasaan politik untuk mewujudkan orde politik Islam atau nizam Islami. Nizam Islami tidak semestinya meletakkan khilafah sebagai bentuk pemerintahan yang absah tetapi ia adalah order politik yang menundukkan semua warga kepada benturan yang difikirkan oleh Islamis sebagai Islamik atau mengikut perintah Tuhan dan agama.

Nizam Islami mencakupi aspek politik, sosial, kehidupan peribadi dan publik, dan inilah yang dimaknakan sebagai kesyumulan atau holistiknya Islam itu. Selalunya aturan hidup, sosial dan politik ini bersifat konservatif, patriarkal dan misoginis. Justeru, demi menerapkan penundukan ini kepada masyarakat dengan cara hidup Islam yang syumul, mereka dididik melalui aktiviti-aktiviti dakwah dan pendidikan. Sekolah-sekolah Islam dibina oleh gerakan-gerakan Islam untuk mendidik generasi muda dengan nilai-nilai ini.

Selain itu, projek Islamisasi yang dilakukan oleh negara pada tahun 1970-80 an yang pada asalnya untuk melawan naratif Islam yang dibawa oleh PAS dan melumpuhkan sokongan awam pada PAS, memberi ruang kepada gerakan Islamis - yang dianggap moderat – untuk menerapkan nilai-nilai tersebut melalui institusi dan dasar-dasar negara. Nilai-nilai dan cara faham Islamis tentang superioriti Islam diserapkan ke dalam pentadbiran, pendidikan, undang-undang, perniagaan dan ruang-ruang awam. Islam dibirokrasikan dengan lebih ekstensif dan ia semakin membesar saban hari dan memberi kesan kepada hidup semua warga Malaysia tidak kira Muslim ataupun bukan Muslim.

Justeru tidak hairan, generasi muda Muslim di Malaysia pada hari ini lebih terpolarisasi dengan perbezaan agama dan kaum berbanding kerana idea Islam yang eksklusif sudah lama dinormalisasikan dan mendarah daging dalam masyarakat. Persoalan yang wajib kita tanyakan pada hari ini, sampai bila kita mahu menganggap Islamisasi dan Islamisme sebagai persoalan yang remeh?

 

Bibiliografi:

 

·        2022. Muslim Youth Survey 2022. Merdeka Center for Opinion Research.

·        Tibi, B. 2012. Islamism and Islam.  New Haven & London: Yale University Press.